Sajak

AKU INGIN BELAJAR DENGAN DIRIKU SENDIRI

Tuhan, aku ingin belajar dengan diriku sendiri,
Ajarkanlah aku agar aku dapat ilmu dari kejadianku ini,
Aku kaji diri lahirku, aku renung diri batinku,
Aku nilai akal fikiranku, kekuatannya, bagaimana ia mendapatkan ilmu,bagaimana ia memproses ilmu,
Cara mana dia menyimpan ilmu dan maklumat yang didapati dan bagaimana ia mengeluarkan ilmu dan maklumat itu,
Waktu bila ia terangsang menerima ilmu dan maklumat dari yang dilihat,didengar, disentuh dan dirasa,
Ketika bila pula ia terangsang mengeluarkan ilmu dan maklumat yang tersimpan itu,
Kemudian aku belajar perjalanan nafsu dan peranannya, kehendak-kehendaknya bila ia merangsang, akibatnya, baik buruknya dan kesannya,
Aku kaji juga hatiku atau jiwaku, perasaan yang mendatang silih berganti selalu peranannya dan kesannya,
Aku kaji jasad lahirku, keadaannya, peranannya, waktu sakit, waktu sihat,
Tuhanku rupanya setiap kejadian yang berlaku pada diriku lahir dan batin, ada hikmah yang tersembunyi,
Segala-galanya yang terjadi adalah didikan bagiku,
Samada yang berlaku itu nampaknya positif mahupun negatif,
ada rahsia yang tersirat ia sungguh seni,
Aku nilai dengan basirahku secara halus dan teliti semuanya baik bagiku,
Lantas aku faham dan mengerti mengapa Engkau lakukan kepadaku,
Adakalanya aku senang, adakalanya aku susah,
Ada ketikanya aku sihat ada waktunya aku sakit,
Adakalanya badanku letih ada waktu badanku gagah dan cergas,
Aku kaji perjalanan hatiku selalu, perasaannya silih berganti,
Ada masa aku miskin ada masa tiba-tiba aku kaya,
Dan berbagai-bagai lagi keadaan yang berlaku pada silih berganti terutama perasaan hati,
Adakalanya aku sedih adakalanya aku gembira,
Adakalanya aku benci adakalanya aku suka,
Adakalanya hatiku resah gelisah, adakalanya hatiku tenang dan senang,
Adakalanya hatiku rasa marah adakalanya hatiku rasa lapang dada,
Adakalanya hatiku rasa jijik, adakalanya hatiku rasa biasa sahaja,
Adakalanya hatiku pilu adakalanya hatiku riang dan ceria,
Adakalanya hatiku rasa malu adakalanya biasa sahaja,
Adakalanya aku rasa takut ada ketikanya aku rasa berani,
Adakalanya hatiku rasa curiga adakalanya hatiku rasa percaya,
Di sini sungguh banyak ilmu yang aku dapat, di sini sungguh banyak rahsia diriku dari-Mu yang aku gali,
Rupanya sifat yang sering berubah pada diriku itu menyedarkan aku,bahawa aku adalah hamba-Mu,
Kerana sifat hamba atau makhluk adalah berubah-ubah selalu,
Di sini aku faham lagi bahawa sifat hamba itu tidak sempurna sentiasa baru,

Rupanya aku hamba-Mu menerima ketentuan dari-Mu,
Sungguh Engkau Maha Pentadbir termasuk diriku,
Aku faham lagi bahawa aku lemah, hamba memanglah lemah, agar aku selalu bergantung dengan-Mu,
Dan seterusnya aku faham apa yang berlaku kepada diriku bukan kehendak aku,
Rupanya segala-galanya yang berlaku pada diriku adalah kehendak-Mu,
Di sini menunjukkan kelemahanku lagi bahawa sedikit pun aku tidak ada kuasa pada diriku walaupun sebesar habuk atau sebesar debu,
Kuasa-Mulah sepenuhnya yang berlaku pada diriku tidak campurtangan sedikit dariku,
Kehendak-kehendak-Mulah yang terjadi ke atas diriku,
Menjadikan aku takut kepada-Mu, rupanya takut aku itu kepada-Mu itulah yang Engkau mahu,
Aku renung lagi kejadian yang berlaku kepada diriku apakah rahsianya kejadian itu,
Rupanya di waktu susah dan berlaku bala, agar aku sabar supaya aku dapat pahala sabar,
Di masa-masa yang lain aku senang, sihat, kaya, agar aku bersyukur supaya aku dapat pahala syukur,
Itulah yang Engkau mahu dariku,
Supaya aku dapat kekalkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan,
Hikmah yang lain aku dapat faham supaya aku tidak sombong, tidak riyak, tidak megah, tidak bakhil, tidak tamak,
Sifat-sifat itu adalah Engkau benci,
Aku faham agar aku tidak di dalam kemurkaan-Mu,
Begitulah yang aku faham, terima kasih Tuhan, Engkau beri aku faham tentang diriku,
Setelah aku kaji, renung, analisa diriku lahir dan batinnya sungguh banyak ilmu yang aku dapat dari diriku ini,
Sungguh ajaib dan menghairankanku,
Di dalam diriku ada berbagai ilmu, bahkan lautan ilmu, ada ilmu hikmah, ada ilmu tauhid, ada ilmu syariat, ada ilmu tasawuf, ada ilmu akhlak,
Ada ilmu yang tersurat, ada ilmu yang tersirat, ada ilmu falsafah, ada ilmu manusia, ada ilmu saikologi, ada ilmu biologi,
Ada benih baik, ada benih buruk, terpulang kepada kita yang mana kita hendak suburkan,
Patutlah Tuhan mengingatkan kita di dalam satu ayat Al Quran yang berbunyi:
“Di dalam diri kamu apakah kamu tidak menganalisanya.”
Hadis juga ada berkata:
“Barangsiapa mengenal dirinya nescaya dia mengenal Tuhannya.”
Ertinya kalau kita perhatikan tentang diri kita sendiri,
Kita akan mendapat berbagai-bagai ilmu, kita akan takut Tuhan,kita akan cinta kepada-Nya, kita akan sentiasa rasa bertuhan, kita akan rasa kehambaan,
Kita akan mendapat sifat taqwa,
Sifat taqwa adalah bekalan kita ke Akhirat,
Itulah dia keselamatan kita dunia Akhirat,
Rupanya di dalam diri kita penuh dengan lautan ilmu kalau kita perhatikan,
Maha Suci Engkau Tuhan, Maha Besar Engkau, sungguh berkuasa Engkau

Advertisements
Categories: Sajak | Tinggalkan komen

CINTA TUHAN PENGIKAT CINTA MANUSIA

 
CINTA TUHAN PENGIKAT CINTA MANUSIA
KASIH SAYANG adalah fitrah manusia semula jadi manusia
Ia adalah makanan jiwa
Penyubur jiwa, penceria muka
Sangat diperlukan oleh setiap hati insan
Setiap orang tidak kira bagaimana kedudukan, sangat berhajat kepadanya
Makanan jiwa lebih diperlukan daripada makanan fizikal
Kerana darinyalah sebahagian daripada sumber kebahagian manusia
Dari kasih sayang manusia bersaudara,
Bertimbang-rasa, bermaaf-maafan dan boleh bekerjasama
Suburnya kasih sayang fakir miskin terbela
Perikemanusiaan wujud, kemesraan sentiasa berbunga
Mudah bertolak ansur didalam setiap perkara
Dari kasih sayang, hasad dengki kurang
Kata-mengata, hina-menghina jarang berlaku dikalangan manusia
Suburkanlah KASIH SAYANG!
Bermula daripada mencintai Tuhan pencipta manusia
Cintakan Tuhan adalah anak kunci cintakan sesama manusia
Ertinya cintakan Tuhan mengikat hati manusia sesama mereka
Cinta sesama manusia tidak akan wujud oleh harta
Tidak akan berlaku dengan sebab ilmu atau pangkat
Tidak akan terjadi dengan hanya slogan-slogan
Juga tidak akan berlaku hanya di majlis-majlis makan
Oleh itu siapa sahaja yang inginkan, memperjuangkan perpaduan
Perjuangkanlah KASIH SAYANG…
Dengan memperjuangkan, cintakan Tuhan (khawariqul ‘alam)
Cintakan Tuhan adalah menjadi pengikat cinta sesama manusia
Categories: Sajak | 1 Komen

BERJUANGLAH ATAS DASAR CINTAKAN TUHAN

 
BERJUANGLAH ATAS DASAR CINTAKAN TUHAN.
BERJUANGLAH atas dasar cintakan Tuhan
Atau berjuanglah atas dasar takutkan yang Maha Pencipta
Membangunlah atas dasar tuntutan Tuhan
Berekonomilah atas dasar perintah Tuhan yang Maha Esa
Berpendidikanlah atas dasar cintakan Tuhan
Bahkan, buatlah apa sahaja tapi untuk Tuhan dan kerana Tuhan
Barulah segala apa yang dihasilkan selamat-menyelamatkan
Bahagia dan membahagiakan sesama manusia
Bahkan segala yang dihasilkan itu akan menjadi
lambang kebesaran Tuhan.
Ia akan menjadi ‘ayat min ayatillah’
Dari buah usaha dan perjuangan itu
nampak kebesaran Allah SWT.
Manusia akan bersyukur dan malu kepada-Nya
Dan manusia akan merendah diri dihadapan Kebesaran Tuhan.
Di waktu itu yang terasa Allahlah yang Maha Kuasa,
Maha Besar dan Maha Agung.
Tapi apabila manusia itu berusaha dan berjuang
tidak ada hubung kait dengan Tuhan
Maka akan berlakulah nanti hasil dari usaha dan perjuangan
itu sebagai tuhan.
Walaupun manusia tidak mengatakan itu tuhan
Matlamat yang telah dicapai itu,
manusia bertuhankan benda itu.
Jadi, manusia itu sama ada disedari atau tidak
telah bertuhankan benda.
Kerana itulah, apabila benda itu sudah tidak boleh
menyelamatkan manusia lagi.
Manusia akan jemu, resah dan gelisah
bahkan kecewa dan putus asa.
Categories: Sajak | Tinggalkan komen

TUHAN ADALAH SEGALA-GALANYA BUAT INSAN

Tuhan adalah keperluan di dalam kehidupan
Dia adalah segala-galanya buat setiap insan
Marilah kita gambarkan untuk faham siapa sebenarnya Tuhan
Bumi tempat kita tinggal adalah kepunyaan Tuhan
Langit atap bumi di sana ada matahari, bulan dan bintang ciptaan Tuhan
Udara yang dihirup penyambung hidup dari detik ke detik anugerah Tuhan
Jantung yang bergerak enjin kepada badan buatan Tuhan
Akal yang digunakan mendapatkan ilmu dan untuk berfikir
adalah nikmat dari Tuhan
Anggota lahir yang digunakan setiap waktu untuk keperluan hidup manusia
adalah Tuhan jadikan
Roh atau jiwa kita berperasaan silih berganti
Seperti gembira, sedih, senang dan benci pentadbiran Tuhan
Kita sakit berusaha makan ubat, yang menyembuhkan Tuhan,
bukan ubat yang dimakan,
Di waktu lapar dan haus, kita perlu makan,
makanan dan minuman dari Tuhan
Selepas makan kita rasa kenyang Tuhan kenyangkan
Kita letih selepas bekerja ingin rehat Tuhan tidurkan,
tenaga kita kembali semula seperti sediakala untuk tenaga bekerja Tuhan pulihkan
Apabila hendak berhibur di antaranya Tuhan jadikan jenis laki-laki dan perempuan,
setiap satu sama lain hibur-menghiburkan,
rasa terhibur itu adalah dari Tuhan
Untuk menyambung hidup lahir generasi baru,
hasil perhubungan laki-laki dan perempuan
Kelahiran itu adalah juga penghibur kepada laki-laki perempuan iaitu ibu dan bapa,
boleh juga mengisi kekosongan jiwa insan,
Di waktu hubungan suami isteri mula renggang,
anak adalah pengikat semula yang renggang
Begitulah seterusnya kalau kita fikirkan
dan peka memerhatikan tidak ada yang terlepas dari Tuhan
Kalau begitu Tuhan adalah sangat diperlukan di dalam kehidupan,
atau kehidupan adalah peranan Tuhan
Tapi mengapa manusia melupakan Tuhan?
Mengapa manusia tidak merasakan Tuhan berperanan?
Kerana itulah Tuhan hukum manusia terasa kekosongan jiwa,
Jiwa gelisah aja sekalipun berkuasa dan kaya
Takutilah Tuhan cintailah Dia
Tuhan adalah sangat diperlukan
Tuhan adalah segala-galanya buat manusia di dalam kehidupan

Categories: Sajak | Tinggalkan komen

Alangkah Hebatnya Tuhan

Alangkah Hebatnya Tuhan

Alangkah hebatnya Tuhan
Di dalam satu kerdipan mata berbilion-bilion yang dicipta-Nya dengan serentak
Di masa yang sama pula berbilion-bilion yang dibinasakan atau yang ditiadakan-Nya
Di dalam satu kerdipan mata, berbilion-bilion secara serentak diketahui yang ada mahupun yang tiada
Juga di masa yang sama dengan serentak berbilion-bilion perkara yang dilihat dan didengar-Nya
Kudrat-Nya Esa sepertimana sifat-sifat yang lain juga Esa
Kuasa membuat yang sedikit atau banyak, kecil atau besar sama sahaja
Tidak ada beza kerana Tuhan itu Kudrat-Nya bukan tenaga
Tapi Zat-Nya yang Maha Kuasa atau bersifat Kuasa
Kerana itulah Tuhan tidak terasa penat atau letih
Begitu juga Tuhan kehendak-Nya bukan dengan nafsu
Kerana itulah kehendak-Nya tidak menerima jemu juga tidak terasa ghairah seperti manusia
Dia berbuat atau tidak berbuat dengan kehendak-Nya yang penuh berhikmah
Tidak ada yang sia-sia atau yang tidak mempunyai hikmah yang tersirat atau tersurat
Apa yang terdahulu dan apa yang kemudian semua diketahui-Nya
Tidak pernah dilupakan-Nya sekalipun sebesar debu di udara
Murka-Nya bukan dengan nafsu
Kerana Tuhan itu tidak ada nafsu seperti makhluk-Nya
Suka-Nya atau cinta akan sesuatu bukan pula dengan perasaan-Nya
Kerana Tuhan itu tidak ada jiwa
Cinta-Nya pula mengikut kehendak dan hikmahnya
Bukan didorong oleh keadaan
Kerana keadaan dan situasi Tuhan yang mencipta-Nya
Segala apa yang hendak dibuat atau tidak bukan hasil fikiran atau hasil menimbang-nimbang
Kerana Tuhan bukan ada akal seperti manusia
Kerana Kudrat dan Iradat-Nya berlaku adalah kerana kepatutan-Nya
Dengan penuh hikmah dan pengajaran
Begitulah Zat Tuhan yang Maha Agung
Sungguh hebat dan menggerunkan

Categories: Minda AFT, Sajak | 2 Komen

Blog di WordPress.com.