Allah terima doa Nabi Nuh

RASUL seterusnya ialah Nuh bin Lamik bin Matusyalak bin Akhnukh. Nabi Idris adalah datuknya tertua. Keturunannya berakhir pada Nabi Syits bin Adam. Jarak antara Nabi Nuh dengan Nabi Adam lebih 1,000 tahun.

Kisah mengenai Nuh disebut dalam al-Quran sebanyak 43 tempat. Antaranya, pada surah al-A’raaf, Hud, al-Mukminun, as-Syuara dan al-Qamar, selain mempunyai surah khusus, iaitu surah Nuh.

Dalam surah Nuh diceritakan keseluruhan mengenainya, iaitu dari mula kebangkitannya, risalah, cara dakwah, bangkangan dan perkara maksiat yang dilakukan umatnya.

Turut dikisahkan mengenai kesabarannya berdepan dengan caci maki dan penghinaan daripada kaumnya, azab yang ditimpakan Allah kepada kaumnya dan keselamatan ke atas orang beriman.

Nabi Nuh mempunyai umur yang panjang dan paling besar jihadnya. Beliau berdakwah selama 950 tahun, dengan mengingati dan menasihatkan umatnya, selain menyeru ke jalan Allah dengan kebijaksanaan.

Namun, umatnya mendustakan ajaran yang disampaikan itu, malah melawan dan menentang. Hati mereka lebih keras daripada batu, manakala akal fikiran mereka lebih tumpul daripada besi.

Seperti firman Allah, bermaksud: “Dan tidak beriman bersama Nuh itu melainkan sedikit.”

Kebanyakan kaumnya tidak mendengar dakwah itu, malah melemparkan tuduhan Nabi Nuh gila, selain mengugut dengan pelbagai ancaman.

Firman Allah, bermaksud: “Sebelum mereka, telah mendustakan (pula) kaum Nuh, maka mereka mendustakan hamba kami (Nuh) dan mengatakan, dia seorang gila dan dia pernah diberi ancaman.”

Mereka turut mengugut untuk merejam Nabi Nuh, namun Nuh tidak memberikan sebarang reaksi dan gentar terhadap ugutan itu. Malah, beliau dengan bersemangat mencabar kaumnya itu.

Apabila mendapat tentangan yang cukup hebat daripada kaumnya, Nuh mengadu perkara itu kepada Allah, katanya: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku mendustakanku, kerana itu adakanlah keputusan antaraku dengan mereka dan selamatkanlah aku dan orang beriman bersamaku.”

Seterusnya, Nabi Nuh bermohon supaya kaumnya dihancurkan, katanya: “Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun antara orang kafir itu tinggal di atas bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, pasti mereka akan menyesatkan hambaMu dan mereka tidak akan melahirkan selain anak yang berbuat maksiat lagi sangat kafir.”

Allah menerima doa itu, namun sebelum menghancurkan kaum Nuh, Allah memberikan wahyu. Namun, tiada yang mempercayai wahyu itu, melainkan sedikit daripada kalangan orang mukmin.

Melalui wahyu itu, diperintahkan Nuh supaya membina kapal keselamatan, yang akan mendapat perlindungan Allah. Nuh juga dilarang bersifat belas terhadap orang kafir, kerana mereka akan ditenggelamkan.

Bagaimanapun, Nabi Nuh masih berdoa kepada Allah, malah memanggil tukang kayu untuk sama-sama membina kapal itu. Keadaan itu menyebabkan
kesombongan orang kafir makin menjadi dan terus mengejek Nuh.

Nuh berkata: “Jika kamu masih mengejek aku dan pengikutku (orang beriman), kami juga akan menghina kamu sebentar lagi, kerana aku lebih mengetahui siapa yang akan ditimpa azab dan kehancuran dan kamu juga akan mengetahui nanti siapa yang akan dijerumuskan ke dalam seksa dunia, kemudian seksa abadi di akhirat.”

Selesai membina kapal, terbitlah beberapa tanda azab, iaitu terpancar air dari tanah. Lalu Allah memerintahkan Nuh supaya mengumpulkan semua jenis tumbuhan dan haiwan, masing-masing sepasang (jantan dan betina) untuk dibawa ke dalam kapal.

Nabi Nuh bersedia dengan kapalnya dan memerintahkan orang mukmin supaya menaikinya, dengan mendahulukan kaki kanan sambil berzikir kepada Allah sehingga turun dari kapal.

Banjir itu berlaku sungguh dahsyat, kerana air hujan (dari langit) bertemu dengan air dari perut bumi, menghasilkan banjir cukup besar, menenggelamkan semua orang kafir, seperti yang didoakan Nuh. Apabila semua orang kafir hancur, Allah memerintahkan bumi supaya menelan air banjir itu dan langit tidak menurunkan hujan. Selepas air surut, kapal itu terdampar di Bukit Juud.

Kemudian diperintahkan Nuh dan pengikutnya turun ke darat. Mereka menerima keberkatan Allah dan menjamin orang beriman.

Categories: Kisah Rasul | Tinggalkan komen

Navigasi kiriman

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

%d bloggers like this: